
"Nah!" Zaf hulur Cadburry Black Forest.
Aku buat muka tak malu, ambil dan terus koyak kertas pembalut
ala-ala kemaruk mengidam dua bulan. Padahal baru tengah hari tadi aku jamah.
"Kau ni suka sangat benda alah ni, kenapa?" soal Zaf,
penuh tanda tanya. Aku senyum. Malas jawab. Tak indah dunia aku makan Cadburry
Black Forest sambil kusutkan kepala otak. Walaupun sebenarnya soalan dia sangat
kacang nak jawab. Tapi aku degil, tetap tak mahu jawab.
"Bak sikit." Minta dia. Aku geleng sambil sorokkan
coklat itu belakang badan. Sengaja aku busuk hati. Tapi aku memang kedekut nak
kongsi coklat kegemaran ini. Terasa tercarik hati dan sanubari aku. Okeh tak,
hyperbola sangat.
"Kau tahu, kalau ada orang datang rumah... maksud aku
rombongan meminang bawa satu lori Cadburry Black Forest mesti aku terima
lamaran dia. No
second thought!" Aku cakap dengan yakin. Siap genggam tangan
dengan mulut herot bengot. Tanda semangat. Aku syak mata aku bersinar-sinar,
macam cerita kartun dalam tivi.
Zaf ketuk kepala aku. Aku gosok-gosok tak puas hati. Berkerut
kening aku. Nasib kau tinggi kalau tak aku luku kau balik. Tapi macam biasa,
itu cuma monolog dalaman je.
"Pengaruh tivi betul.
Kau ni dah umur 25 tahun, tahu tak? Dah layak jadi mak orang" bebel dia,
seperti biasa.
Aku pekup telinga. Rimas aku nak dengar budak ini membebel.
Macam perempuan. Aku yang perempuan ni pun elok sopan senyap. Dia yang lebih.
Hisyh!
"Kau tak faham perasaan aku. Cuba kau rasa dulu, baru kau
faham" jawab aku ala-ala melodrama.
"Tak ada maknanya. Aku minta sikit pun kedekut" bidas
dia. Suka betul dia bidas-bidas cakap aku. Agaknya kalau sehari tak lawan cakap
aku tak senang hidup dia agaknya. Aku kasi jelingan tajam, biar tertikam hati
dia. Sampai mati. Padan muka.
"Kau pergi lah beli lain. Kalau kau tak suka, bagi
aku!" kening sebelah kiri bergerak turun naik ala-ala Ziana Zain.
Tiba-tiba aku rasa seksi pulak. Pernah tengok cerita Hindustan bila Cik Heroin
malu-malu kucing kena tangkap mencuri pandang pada Encik Hero. Ha, sebijik
macam itulah perasaan aku.
Kepala aku kena luku lagi. Aku jelir lidah, kutip-kutip sampah
dan buang. Selesai satu bar coklat. Perut rasa kenyang dan aku selamba berjalan
tinggalkan Zaf di situ. Geram kena sekeh tak hilang lagi. Saja aku buat-buat
tak tahu pada dia.
Tapi pelik pula dia hari ini. Selalunya tak ajak pun sibuk nak
ikut. Hari ini dah jelas depan mata aku tinggalkan dia, boleh jadi kayu lagi
tertunggu kat situ.
"Oi Zaf! Tak nak gerak ke?" akhirnya aku mengalah juga
panggil dia. Gila, siapa nak memandu kalau bukan dia.
Dari jauh, eh... sebenarnya tak adalah jauh sangat dalam 10
langkah lebih kurang jarak dia dengan aku, aku nampak dia bergerak ke arah aku
dengan pandangan lesu.
Lantak kau lah!
*****
"Alia, mama ada hal nak bincang dengan kamu. Kamu balik tak
hujung minggu ni?" soal mama. Ada perasaan pelik pulak yang bertandang
dalam hati aku. Apasal mama tak terus bagitahu apa yang nak dibincangkan?
Susah-susah pulak buat panggilan dan suruh balik. Tak macam mama langsung.
Tapi sebab aku ada ciri-ciri anak mama yang solehah dan selalu
mendahului kedua ibubapa, makanya aku tanpa banyak soal bersetuju nak balik
rumah. Alah, rumah-manis-rumah ataupun home-sweet-home, siapa
yang tak suka nak balikkan? Tambah pulak bila mama cakap nak belanja duit
tambang. Pasti mahu! Siapa yang tak mahu kan? Eh, ke ada? Errr...
Okeh, abaikan bahagian itu.
Tapi malam itu, aku betul-betul kusut. Sampai gatal kulit
kepala. Sampai kusut rambut aku garu. Aku pandang cermin nampak Pontianak Harum
Sundal Malam depan cermin. Cantik tapi menakutkan. Sila abaikan yang cantik
itu. Itu sekadar nak gembirakan hati dan perasaan. Lebih tepat perasan.
Aku layan baring atas tilam keras dan tak berapa empuk di rumah
sewa, tapi mata aku degil tak nak pejam.
Aku sendiri tak faham apa kena mengena perasaan perasan aku masa
depan cermin tadi dengan tak boleh tidur. Sebenarnya memang null. Tak ada kaitan
langsung. Yang mengusutkan kepala otak aku bila mama macam ada agenda
tersendiri suruh aku balik rumah hujung minggu ni.
Tak kan lah mama nak jadi mama tipikal dalam novel pulak? Klise,
tiba-tiba bagitahu ada orang datang rumah meminang. Oh la-la-la-la. Simpang
malaikat empat puluh empat.
Aku jentik dahi sendiri. Sakit. Lepas itu, aku senyum. Dah balik
dalam dunia realiti. Hujung minggu masih berbaki dua hari. Cerita lepas ini
belakang kira. Penting sekali malam ini aku kena tidur.
Tidur. Tidur. Tidur.
Aku cuba hipnotis diri sendiri. Akhirnya berjaya. Aku tahupun
sebab esoknya aku bangun lewat dan gelabah ke tempat kerja.
Ceh.
*****
Fuh! Lega. Rupa-rupanya mama nak bincang pasal buka kedai
pengantin. Lebih tepat mama nak jadi wedding
planner. Aku sebagai anak yang taat pastilah setuju. Tambah pula
mama memang minat dengan andaman pengantin. Tapi dalam hati aku tertanya-tanya
juga. Agaknya mama saja nak perli aku tak? Ye lah, umur anak dia dah masuk suku
abad tapi tak ada tanda-tanda langsung nak kahwin.
Entah-entah, demi mengubati hati mama terus buat keputusan nak
buka kedai pengantin. Eh, cut-cut!
Drama sangat. Tak mungkinlah mama jenis macam tu. Aku kena yakin
mama memang ikhlas nak buka kedai pengantin ini. Memang tak ada kaitan langsung
dengan aku yang tak ada gaya nak kahwin lagi. Lebih tepat, tak ada sinis-sinis
segala. Jangan paranoia. Aku muda lagi. Sempoi-sempoi sudah.
Yang pasti aku tahu, mama memang mama terbaik di dunia.
Kalau belum sampai masa, mama mesti tak akan paksa aku kahwin
awal. Aku yakin dan pasti. Dan aku tak sedar aku senyum sorang-sorang.
"Eh, Alia senyum pada siapa tu?" soal mama. Alamak!
Terkantoi pulak. Hisyh, aku jentik dahi sendiri. Mama gelengkan kepala tengok
telatah aku.
"Tak payah cover line jentik-jentik dahi. Mama tahu Alia
memang kuat berangan!"
Zass. Mama memang terer. Super terer. Mama memang ada mata ketiga
untuk melihat semua pasal aku. Tahniah mama. Tapi seboleh mungkin aku nak
sorokkan. Malulah kantoi.
"Ma, Alia mengantuklah. Tadi Alia mamai macam
ternampak-nampak putera raja. Dia eh baginda eh tuanku, eh... apa-apalah. Tapi
dia bawakan Alia coklat Cadburry Black Forest sepenuh kereta kuda. Kereta tu
bentuk labu, macam cerita Cinderella. Mestilah Alia senyum. Menawan hati dan
sanubari, tau."
"Ah, sudah. Budak ni mengarut pulak. Awak tu anak dara
bukan budak-budak lagi. Apa kena lah fikir macam budak-budak ni? Cuba belajar
jadi matang Alia" sanggah mama. Aku sengih kerang busuk. Tak baik melawan
cakap orang tua. Berdosa besar. Nanti masuk neraka, pesan nenek waktu dahulu
kala. Rasanya masa tu aku baru darjah tiga. Aku bentak-bentak mama sebab mama
tersilap belikan Cadburry Dairy Milk, bukan Cadburry Black Forest seperti
selalu.
Sampai sekarang aku ingat pesan nenek. Kuat kan ingatan aku? Oh,
abaikan. Aku dah terbiasa mempunyai perasaan terlebih. Jangan hiraukan, ya?
Jadi hujung minggu aku itu terisi dengan menyiapkan semua
dokumentasi berkaitan andaman dan pengantin. Mama minta pandangan aku. Katanya
aku muda maka mama lebih percaya selera aku. Kata mama lagi, aku
lebih faham kehendak bakal-bakal pengantin itu berdasarkan faktor usia. Lagipun
memang ikut logik bakal pelanggan mama nanti lebih ramai sebaya aku berbanding
mama kan?
Tiba-tiba aku tersentuh pula.
Bila pula giliran aku? Ah, kusut!
*****
Dah lama aku tak nampak Zaf. Selalunya ada je dia muncul
tiba-tiba.
Contohnya, ada satu hari aku baru balik dari ofis. Hari hujan
lebat tapi aku lupa bawa payung. Tiba-tiba dia muncul depan bangunan tempat
kerja aku dan jemput aku tumpang kereta dia. Ala-ala Perempuan Melayu Terakhir,
aku tolak pelawaan dia. Sudahnya dia temankan aku depan bangunan sampai hujan
berhenti.
Tapi jangan harap ada adegan romantik atau lovey-dovey.
Cerita aku bukan tema cintan-cintun-berapi-tapi-akhirnya-tak-kahwin.
Ini cerita hidup aku yang realistik. Mana ada drama. Drama itu tipu.
Aku dengan Zaf memang pantang jumpa. Mesti bergaduh. Macam
anjing dan kucing. Aku nak jadi kucing. Biar dia jadi anjing.Opppsss.
Aku jentik dahi sendiri. Apasal aku teringatkan Zaf pula ni?
Agaknya aku tertekan. Ye lah, biasanya bila aku tertekan je mesti Zaf ada tolong
ketuk kepala aku. Tak pun bidas cakap aku. Tak pun dengar aku maki-maki tepi
dia. Walaupun sebenarnya aku mengomel sorang-sorang dan dia tak dengar pun apa
yang aku makikan tu, dia cool je
jadi patung. Dan dia langsung tak kisah kalau aku buruk laku bentak-bentak
minta Cadburry Black Forest bila-bila aku suka.
Eh, aku tengah mendiskripsi tentang Zaf ke? Ah, abaikan. Aku
tengah tertekan sangat gamaknya. Abaikan, abaikan. Anggap aku tak pernah
bagitahu apa-apa.
Aku geledah laci cari coklat. Tak jumpa. Entah kenapa aku rasa
nak menangis.
"Doktor, saya tak gila! Jangan suntik saya ye?" rayu
aku. Aku nampak doktor lelaki dengan misai tebal bawa jarum besar nak suntik
aku. Ada helmet besi, aku syak itu yang nak kasi kejutan elektrik dekat kepala.
Doktor tu punya muka, mak aih! Gerun aku. Dah lah ada banyak jerawat batu.
Sesiapa, tolonglah aku. Aku nak coklat Cadburry Black Forest je. Zaf, aku nak
coklat!!!"
Dan, aku mimpi.
Kuss semangat. Aku gosok mata,
terpisat-pisat. Bila sedar aku sebenarnya tertidur, aku rasa gelabah tiba-tiba.
Aku pandang Aini yang tersenyum penuh makna. Aqif yang berhenti berjalan sambil
terkebil-kebil pandang aku. Dan Chong yang tergelak-gelak sendiri.
Aku ada cakap apa-apa ke masa tertidur tadi?
Seminit ofis jadi
sepi. Macam masa dihentikan. Semua terpaku. Sah, aku mamai lagi. Aku jentik
dahi kuat-kuat. Sakit!
Tiba-tiba kepala aku kena ketuk.
Cis, siapa pulak yang berani ketuk kepala aku ni? Ada juga yang
nak makan penampar Arab agaknya. Rusuh aku sendiri dalam hati. Sebab bengang
sangat, aku tepis tangan entah-makhluk-mana-tak-ada-adab yang
ketuk kepala aku tadi.
"Oi, garangnya!"
Zaf. Eh, hidup aku dah jadi drama ke? Apasal tiba-tiba watak Zaf
muncul ni?
Direktor, cut-cut!
Cepat.
*****
"Kau rindu aku ye?" Ah, apasal dia kasi
soalan berkadar selari terus tanpa belok pada aku ni. Apa aku nak
jawab? Gelabah, tapi kejap je.
"Jadi kau rasa aku rindu kau ke?" soal aku balik.
Soalan balas soalan. Cool.
Dia senyum. Tiba-tiba aku terperasan sesuatu. Dia ada lesung pipit, nampak
manis bila dia senyum.
"Kalau kau rindu aku, aku belanja kau Cadburry Black
Forest. Nak?" soal dia pulak.
"Kalau aku tak rindu kau, tak dapat Cadburry Black Forest
ke?" soal aku balik. Dia gelak. Gelak kali ini, lain macam. Dia gelak
sungguh-sungguh sampai meleleh air mata. Tak faham betul aku. Aku buat lawak
ke?
"Kau ni degil. Keras kepala. Apa susah sangat ke nak
mengaku rindu aku?" tanya dia lagi. Aku hilang soalan. Kepala aku kosong.
Mana semua perbendaharaan kata yang aku belajar selama ini? Apasal hilang
tiba-tiba.
Sepi. Tak ada soalan balas dari aku.
Dia baru nak buka mulut keluarkan suara, tiba-tiba aku
dapat ilham nak pangkah balik soalan dia tadi. Terus menyusup soalan
itu keluar dari mulut aku.
"Kau pergi mana?"
"Aku balik Johor." Ringkas dan padat jawapan dia. Aku
terus melompat. Aha, dia terkena jerat. Aku menang. Yes!
"Kau sedar tak tau dah kalah game? Belanja aku
kan?" soal aku lagi. Masih tak nak keluar dari permainan yang aku cipta.
Padahal aku yang main sorang-sorang. Dia bukan tahu pun.
Tapi aku tak sangka bila dia tepuk dahi sendiri. Muka dia macam
tak puas hati kalah game.
Kau nak satu coklat bar atau dua?" nampaknya dia kembali
dalam permainan. Aku senyum sinis. Peluang kedua. Tinggal satu nyawa andai kata
dia kalah lagi.
"Nak banyak boleh?" soal aku tamak. Sejujurnya aku
memang terbayangkan selori coklat bar kesukaan aku. Membayangkan itu sudah
cukup buat aku senyum sampai telinga.
"Kalau nak selori kena tunggu aku hantar rombongan
meminang. Kalau aku pergi pinang kau, kau terima?" soal dia pula. Tak
terjangka langsung. Hoi!
"Apa kata kau belanja aku dulu. Nanti aku fikir nak jawab
apa. Belanja aku tak?" soal aku lagi.
Dia angguk kepala. Bagus. Aku terus bangun, tarik tangan dia
cepat-cepat. Berat punggung betul. Tapi entah kenapa aku rasa adegan ini pelik.
Macam tak kena langsung dengan jiwa aku. Kenapa aku tarik-tarik tangan dia
pulak ni? Haram bersentuhan antara lelaki dengan perempuan. Ah, balik rumah
kena samak!
Terus aku lepas tangan dia tanpa signal.
Terjatuh dia. Aku pandang dia yang mengerut muka sambil buat
muka tak bersalah. Aku jalan laju-laju mendekati tempat parkir kereta. Aku
nampak dia berlari-lari anak mendapatkan aku sambil tersengeh-sengeh.
Menyampah!
Masuk je dalam kereta, dia hulurkan aku satu beg kertas. Ada
beberapa keping coklat bar Cadburry Black Forest di dalamnya. Rasa nak melompat
aku tengok hadiah yang tak di sangka itu.
"Ini sebab aku kalah pertarungan tadi."
Aku diam tak cakap apa-apa. Puas hati betul aku menang tadi.
Good job, girl!
Aku rasa naik panas muka aku, tapi aku kan macho. Apa hal hilang
waras sebab satu beg coklat bar? Belum satu lori lagi. Relex je. Tapi
senyum macam dah kena gam dekat muka aku. Aku tak boleh tak senyum sepanjang
hari itu. Esoknya, aku rasa mulut aku macam dah terkoyak sebab senyum.
Heh, kalau setiap hari dapat hadiah macam itu, kan indah!
Berangan.
Rasa bahagia datang entah dari mana tanpa sebarang undangan.
Ternganga mulut aku sampai ditegur mama. Zaf di halaman rumah
atas sebuah lori berhias. Ya, halaman rumah aku pagi ini jadi dataran pameran
kenderaan berhias. Macam ada majlis besar-besaran. Yang tambah pelik, Zaf di
atas lori tersebut sambil membaca surat khabar. Segak memang segak, tapi aku
segan. Serasa sebu darah naik ke muka.
Atas lori tersebut ada gerbang kecil, berbunga-bunga. Indah
hiasannya. Mawar merah dan putih. Di tengah-tengah ruang itu pula ada satu meja
kopi, lengkap dengan hidangan minum pagi. Zaf berkemeja putih lengan panjang,
berseluar slack dan bercermin mata hitam tersenyum manis melipat surat khabar.
Surat khabar itu diletakkan di bawah meja kopi.
Ada tangga untuk aku naik atas pelantar lori tersebut. Tapi aku
berdiri sahaja di muka pintu. Terkejut sampai tak mampu mahu bergerak.
Aku lihat Zaf menuruni tangga itu, mampir ke muka pintu. Jelas
di hadapan mata dia meminta izin dari mama untuk menjemput aku minum pagi di
atas lori berhias tersebut. Mama tersenyum memberi keizinan.
Sumpah! Aku termangu di situ tidak percaya. Mama pula ke dapur
meninggalkan kami. Aku membontoti Zaf ke atas pelantar lori. Ada rasa debar
dalam dada. Rasa mahu pecah.
“Selamat Hari Lahir, sayang.” Ucap dia.
Aku ternganga lagi. Mana dia tahu tarikh lahir aku? Alamak,
malu! Tiba-tiba aku rasa manis dalam mulut. Coklat. Zaf sumbatkan coklat
Cadburry Black Forest dalam mulut aku. Tuhan, kenapa debaran dalam dada terasa
sungguh kencang ni? Aku nak kena sakit jantung ke? Aduh.
Debaran ini aku tahu maknanya. Bahagia tahap pertama. Tuhan,
panjangkan hayat bahagia ini.
Dan sehari itu kami menyulam langkah pertama sebagai kekasih.
No comments:
Post a Comment